Wednesday, January 23, 2013

Menulis lagi...

Hari tue sesajer masuk pertandingan nie...
SAYEMBARA PENULISAN TAZKIRAH PERINGKAT KEBANGSAAN SEMPENA MAULIDUR RASUL 1434 H ANJURAN BAHAGIAN PENDIDIKAN ISLAM KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

kalau tak menang pun akan dapat jugak SIJIL penyertaan...hehehe memadailah.

Tulis biasa-biasa ajer, jadi tak boleh berangan nak menang... kat bawah nie hasilnya (boleh di paste di sini dah kot sebab tarik tutupnya pun dah lepas (30/9/2012) , rasa2nya pihak penganjur dah pun ada senarai pemenangnya)... tapi kalau menang dapat hadiah di Majlis Sambutan Maulidur Rasul KPM Peringkat Kebangsaan nanti... hehehe untung sabut timbul !

Taraaaaaaaaaaaaaa..........


Tazkirah Sempena Maulidur Rasul 1434H (Ikut FORMAT yang telah diberi)



Tajuk:
“ PENDIDIKAN ISLAM ASAS KECEMERLANGAN DUNIA DAN AKHIRAT INSAN”
Oleh:
Norhayati binti Ab. Ghani @ Rani

 “Orang lelaki adalah penjaga ke atas ahli keluarganya dan dia bertanggungjawab terhadap mereka dan seorang perempuan adalah penjaga ke atas rumahtangga dan anak-anaknya dan dia bertanggungjawab terhadap mereka.”
(HR. Bukhari)

          Anak merupakan anugerah dan amanah Allah yang paling berharga buat si ayah dan ibu. Islam amat menitikberatkan pendidikan anak-anak sedari kecil lagi. Melalui institusi keluarga, tapak asas keimanan dibina, ia merupakan tapak asas pembinaan ummah yang didasari dan berpaksi kepada keimanan kepada Allah S.W.T. Keluarga tempat bertumbuhnya anak dari segi emosi, jasmani dan spiritual. Keluarga jugalah yang memainkan peranan penting membentuk akal budi dan akhlak seseorang anak itu.

               Institusi kekeluargaan sememangnya merupakan aset penting dalam pembinaan sebuah umat. Kita yakini bahawa sebuah Baitul Muslim itu tidak akan lahir tanpa adanya Fardhul Muslim (Individu Muslim), yang muslim dalam pemikirannya, muslim dalam aqidahnya, muslim dalam segala tingkah laku serta perasaannya dan muslim dalam segala tindak-tanduknya. Namun pembentukan keluarga ini tidak akan sempurna tanpa peranan besar yang perlu dimainkan oleh para ibu dan ayah. Benarlah kata pujangga Melayu, “Bapa borek, anak rintik”. Bertitik tolak dari itu, ibu bapa perlu sedar bahawa tugas mendidik anak-anak bukanlah sesuatu tugas yang enteng, tetapi mereka perlu mempunyai ilmu keibubapaan.

          Pendidikan anak-anak dalam Islam amat nyata mempunyai tujuan dan matlamat yang jelas iaitu untuk menyediakan insan yang taat kepada Penciptanya iaitu Allah S.W.T, dalam konteks mempersiapkan mereka untuk menjadi hamba Allah yang sebenar-benarnya, di mana mereka perlu taat menuruti suruhan-suruhanNya dan meninggalkan larangan-laranganNya. Oleh yang demikian, peri pentingnya pendidikan anak-anak dalam Islam tidak dapat dinafikan lagi, pasangan suami isteri perlu mempunyai asas agama yang baik sebagai persediaan untuk membentuk institusi kekeluargaan, jika tidak, mereka akan berdepan dengan masalah besar apabila anak-anak dewasa kelak.

          Anak-anak jika dibiasakan dan dididik dengan kebaikan, maka mereka akan bertumbuh dengan kebaikan, begitu juga sebaliknya. Justeru itu, menjadi kewajipan ke atas kedua-dua ibu bapa untuk memelihara, mendidik dan membina serta mengajarkan akhlak yang mulia dalam diri anak-anak. Mereka juga bertanggungjawab mengisi kerohanian dan jiwa anak-anak dengan perkara-perkara asas Fardhu Ain dan nilai-nilai murni dan berakhlak yang dapat membantu mereka berdepan dengan cabaran dan arus dunia mereka agar kelak mereka mampu menjadi muslim yang terdidik dan terbina kukuh jati dirinya.

          Ibu bapa pada hari ini berhadapan dengan pelbagai cabaran di dalam mendidik anak-anak.  Mereka dituntut untuk memastikan anak-anak dibesar dan diberikan pendidikan yang merangkumi pembentukan akal, jasmani, rohani, akhlak dan sosial. Peranan ibu bapa kini juga amat mencabar. Dunia yang berada di hadapan mata anak-anak tidak sebagaimana dunia yang telah dilalui oleh ibu bapa. Maka menjadi satu cabaran kepada ibu bapa untuk bijak menangani anak-anak dalam proses membesar dan mendidik mereka. Mereka perlu dibimbing secara berterusan dan perlu diperhatikan perkembangannya dari semasa ke semasa. Pemikiran dan jiwa anak-anak perlu dibangunkan mengikut acuan seorang muslim. Ini boleh memberi impak yang besar dalam cara mereka berfikir dan bertingkah laku agar sejajar dengan kehendak dan keperluan Islam. Sesungguhnya matlamat terbesar pendidikan Islam ialah mendidik seseorang insan itu agar kelak akan lahir ummah yang cemerlang dunia dan akhirat. Ini kerana pendidikan Islam mampu memberi pendidikan sepanjang hayat dan menuntun hidup seorang muslim sejati.

KIT TINDAKAN:
1.     Ibu bapa perlu melengkapkan diri dengan ilmu-ilmu keibubapaan dan asas-asas Fardhu Ain  sebelum melangkah ke alam rumahtangga.
2.    Anak-anak perlu dididik dengan segala keperluan dari pelbagai aspek – rohani, jasmani, sosial dan spiritual selaras dengan kehendak Allah dan rasulNya.
3.      Mendidik anak-anak hendaklah bersesuaian dengan zaman mereka yang serba mencabar dan memerlukan kebijaksanaan dalam mengendalikan anak-anak ini.
         

No comments:

Post a Comment