Wednesday, January 23, 2013

Menulis lagi...

Hari tue sesajer masuk pertandingan nie...
SAYEMBARA PENULISAN TAZKIRAH PERINGKAT KEBANGSAAN SEMPENA MAULIDUR RASUL 1434 H ANJURAN BAHAGIAN PENDIDIKAN ISLAM KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

kalau tak menang pun akan dapat jugak SIJIL penyertaan...hehehe memadailah.

Tulis biasa-biasa ajer, jadi tak boleh berangan nak menang... kat bawah nie hasilnya (boleh di paste di sini dah kot sebab tarik tutupnya pun dah lepas (30/9/2012) , rasa2nya pihak penganjur dah pun ada senarai pemenangnya)... tapi kalau menang dapat hadiah di Majlis Sambutan Maulidur Rasul KPM Peringkat Kebangsaan nanti... hehehe untung sabut timbul !

Taraaaaaaaaaaaaaa..........


Tazkirah Sempena Maulidur Rasul 1434H (Ikut FORMAT yang telah diberi)



Tajuk:
“ PENDIDIKAN ISLAM ASAS KECEMERLANGAN DUNIA DAN AKHIRAT INSAN”
Oleh:
Norhayati binti Ab. Ghani @ Rani

 “Orang lelaki adalah penjaga ke atas ahli keluarganya dan dia bertanggungjawab terhadap mereka dan seorang perempuan adalah penjaga ke atas rumahtangga dan anak-anaknya dan dia bertanggungjawab terhadap mereka.”
(HR. Bukhari)

          Anak merupakan anugerah dan amanah Allah yang paling berharga buat si ayah dan ibu. Islam amat menitikberatkan pendidikan anak-anak sedari kecil lagi. Melalui institusi keluarga, tapak asas keimanan dibina, ia merupakan tapak asas pembinaan ummah yang didasari dan berpaksi kepada keimanan kepada Allah S.W.T. Keluarga tempat bertumbuhnya anak dari segi emosi, jasmani dan spiritual. Keluarga jugalah yang memainkan peranan penting membentuk akal budi dan akhlak seseorang anak itu.

               Institusi kekeluargaan sememangnya merupakan aset penting dalam pembinaan sebuah umat. Kita yakini bahawa sebuah Baitul Muslim itu tidak akan lahir tanpa adanya Fardhul Muslim (Individu Muslim), yang muslim dalam pemikirannya, muslim dalam aqidahnya, muslim dalam segala tingkah laku serta perasaannya dan muslim dalam segala tindak-tanduknya. Namun pembentukan keluarga ini tidak akan sempurna tanpa peranan besar yang perlu dimainkan oleh para ibu dan ayah. Benarlah kata pujangga Melayu, “Bapa borek, anak rintik”. Bertitik tolak dari itu, ibu bapa perlu sedar bahawa tugas mendidik anak-anak bukanlah sesuatu tugas yang enteng, tetapi mereka perlu mempunyai ilmu keibubapaan.

          Pendidikan anak-anak dalam Islam amat nyata mempunyai tujuan dan matlamat yang jelas iaitu untuk menyediakan insan yang taat kepada Penciptanya iaitu Allah S.W.T, dalam konteks mempersiapkan mereka untuk menjadi hamba Allah yang sebenar-benarnya, di mana mereka perlu taat menuruti suruhan-suruhanNya dan meninggalkan larangan-laranganNya. Oleh yang demikian, peri pentingnya pendidikan anak-anak dalam Islam tidak dapat dinafikan lagi, pasangan suami isteri perlu mempunyai asas agama yang baik sebagai persediaan untuk membentuk institusi kekeluargaan, jika tidak, mereka akan berdepan dengan masalah besar apabila anak-anak dewasa kelak.

          Anak-anak jika dibiasakan dan dididik dengan kebaikan, maka mereka akan bertumbuh dengan kebaikan, begitu juga sebaliknya. Justeru itu, menjadi kewajipan ke atas kedua-dua ibu bapa untuk memelihara, mendidik dan membina serta mengajarkan akhlak yang mulia dalam diri anak-anak. Mereka juga bertanggungjawab mengisi kerohanian dan jiwa anak-anak dengan perkara-perkara asas Fardhu Ain dan nilai-nilai murni dan berakhlak yang dapat membantu mereka berdepan dengan cabaran dan arus dunia mereka agar kelak mereka mampu menjadi muslim yang terdidik dan terbina kukuh jati dirinya.

          Ibu bapa pada hari ini berhadapan dengan pelbagai cabaran di dalam mendidik anak-anak.  Mereka dituntut untuk memastikan anak-anak dibesar dan diberikan pendidikan yang merangkumi pembentukan akal, jasmani, rohani, akhlak dan sosial. Peranan ibu bapa kini juga amat mencabar. Dunia yang berada di hadapan mata anak-anak tidak sebagaimana dunia yang telah dilalui oleh ibu bapa. Maka menjadi satu cabaran kepada ibu bapa untuk bijak menangani anak-anak dalam proses membesar dan mendidik mereka. Mereka perlu dibimbing secara berterusan dan perlu diperhatikan perkembangannya dari semasa ke semasa. Pemikiran dan jiwa anak-anak perlu dibangunkan mengikut acuan seorang muslim. Ini boleh memberi impak yang besar dalam cara mereka berfikir dan bertingkah laku agar sejajar dengan kehendak dan keperluan Islam. Sesungguhnya matlamat terbesar pendidikan Islam ialah mendidik seseorang insan itu agar kelak akan lahir ummah yang cemerlang dunia dan akhirat. Ini kerana pendidikan Islam mampu memberi pendidikan sepanjang hayat dan menuntun hidup seorang muslim sejati.

KIT TINDAKAN:
1.     Ibu bapa perlu melengkapkan diri dengan ilmu-ilmu keibubapaan dan asas-asas Fardhu Ain  sebelum melangkah ke alam rumahtangga.
2.    Anak-anak perlu dididik dengan segala keperluan dari pelbagai aspek – rohani, jasmani, sosial dan spiritual selaras dengan kehendak Allah dan rasulNya.
3.      Mendidik anak-anak hendaklah bersesuaian dengan zaman mereka yang serba mencabar dan memerlukan kebijaksanaan dalam mengendalikan anak-anak ini.
         

Kau Sahabat, Kekasih Dan Teman...


Malam nie terasa sunyi...teringat kisah suka duka bersama sahabat2, dah jauh 'berjalan' dan untuk jalan-jalan seterusnya masih tetap mahu mencari sahabat, untuk sama-sama berjuang dalam medan seterusnya...semoga Allah sentiasa memberiku pendamping yang baik yang dapat memandu ke arah kebaikan bukan sahaja di dunia tetapi juga untuk kehidupan akhirat...inilah ,aku yang sentiasa alpa dan perlu didamping !


Kau Sahabat, Kekasih Dan Teman...

Ku harapkan sinar purnama hingga ke siang
Ku harapkan mimpi-mimpi bukan khayalan
Telah aku jelajahi seluruh benua
Mencari pengertian hidup yang sementara

Manusia beraneka ragam dan rupa
Ada yang jujur dan ramai berpura-pura
Ku sangka dalam ilmu dan pengetahuan ku
Tapi ada waktu ku terkeliru

Ku dambakan bukan sekadar yang dinamakan
Kekasih yang menemani ke sana sini
Ku dambakan sahabat dan teman setia
Rela bersama suka dan duka

Jadilah kau sahabat ku, kekasih dan teman
Hanya itu yang ku harapkan
Dalam susah dalam senang kita seiringan
Semoga ikatan berkekalan


NOTA: ~ mendamba SAHABAT, KEKASIH & TEMAN ----> SUAMI (alahaiiiiii)

Maulidur Rasul 1434H... Ya Habibi Ya Rasulullah


 KELEBIHAN SELAWAT
 1) Sabda Rasullah SAW : Barangsiapa yang berselawat ke atasku sekali, nescaya Allah akan turunkan ­­­­rahmat ke atasnya 10 kali ganda - (HR Muslim.)
2) Allah akan hapuskan dosa2 kecil dengan kita mengamalkan berselawat sebanyak 11 kali setiap kali selesai menunaikan solat fardu.
 3) Jodoh ditentukan oleh Allah. Amalkan selawat 100 kali sehari, insya Allah akan dipermudahkan bertemu jodoh sama ada lelaki @ wanita.
 4) Setiap penyakit ada penawarnya. Bacalah selawat 7 kali pada air dan minum. Insya Allah, perut yang sakit atau memulas akan sembuh.
 5) Sesiapa yang amal membaca selawat 3 kali setiap selepas solat 5 waktu akan dihilangkan kebuntuan fikiran dalam menghadapi apa jua masalah.
 6) Amalkan membaca selawat sebanyak 1000 kali sehari, insya Allah akan dikurniakan kebijaksanaan pemikiran. Di samping itu berusahalah untuk menerokai pelbagai ilmu
7) Sesiapa yang mengamalkan berselawat 11 kali setiap hari, dengan izin Allah dirinya akan lebih dihormati dan dihargai oleh orang lain.
8) Menurut Sayyid Ahmad Dahlan, sesiapa yang berselawat walau sekali pada malam Jumaat, saat mautnya kelak akan dipermudahkan Allah seperti yang dihadapi oleh para nabi.
 9) Sesiapa yang berselawat 41 kali sehari, Insya Allah akan dihindarkan daripada sifat tercela seperti hasad dengki, dan sebagainya dalm dirinya.
10) Sesiapa yang amalkan berselawat 1000 kali pada malam Jumaat, Insya Allah akan beroleh kebahagiaan samada di dunia mahupun di akhirat.
11) Amalkan selawat 11 kali tiap kali selesai solat fardu kerana Allah akan mengindahkan akhlaknya menjadi lebih disenangi di kalangan orang lain.
12) Berselawat 33 kali sehari dapat menjernihkan hati, mudah memahami akan sesuatu ilmu yang diajarkan, di samping beroleh ketenangan fikiran.
13) Sesiapa yang berselawat tak kiralah banyak mana hitungannya setiap hari akan dapat keberkatan dalam apa jua dengan syarat ia berusaha mencari keredhaanNya.
 14) Amalan berselawat sebanyak yang mungkin setiap hari menjamin keselamatan hidup dan pertolongan Allah, lebih-lebih lagi pada saat kita menghadapi kesukaran hidup.
15) Menurut Syibab Ahmad, sesiapa berselawat 3 kali setiap selesai solat Subuh, Maghrib & Isyak, Allah akan menghindarkannya daripada sebarang bencana.
16) Sesiapa yang amalkan berselawat sebanyak 1000 kali setiap hari, Allah akan memeliharanya daripada sebarang ancaman musuh serta bahaya fitnah.
17) Amalan berselawat secara teratur setiap hari mampu membersihkan kekeruhan jiwa, dipermudahkan Allah akan segala urusan dan mendapat keampunan daripadaNya.
18) Menurut As-Shawi, sesiapa yang membaca selawat secara rutin, akan terpelihara hatinya daripada gangguan serta tipu daya syaitan yang melalaikan.
 19) Membaca selawat 10 kali pada setiap waktu pagi dan petang akan memperolehi keredhaan serta dijauhkan diri daripada mendapat kemurkaan Allah.
 20) Sesiapa yang membaca selawat sebanyak 7 kali selama 7 Jumaat berturut2, ia bakal mendapat syafaat (pertolongan) daripada baginda SAW.
21) Menurut Al-Hafiz Dimyati, sesiapa yang berhajat menemui Nabi SAW dalam mimpinya maka amalkan membaca selawat sebanyak 70 kali sehari.
22) Ada riwayat yang menyatakan bahawa amalan berselawat 80 kali tiap selepas solat Asar pada hari Jumaat, InsyaAllah akan dihapuskan dosa2 kecil seseorang.
 23) Sesiapa yang sering mengamalkan berselawat pada setiap hari, Allah akan bukakan pintu rahmat dan rezeki yang tidak disangka-sangka baginya.
24) Jiwa yang resah gelisah dapat ditenangkan dengan zikir, termasuklah berselawat sekerap yang mungkin kerana Allah itu Maha Luas rahmatnya.
25) Ulamak berpendapat, sesiapa yang mengamalkan selawat saban hari tak kira berapa hitungannya, insya Allah dihindarkan daripada taun dan wabak penyakit berbahaya yang lain.
 26) Membaca selawat 1000 kali selepas solat hajat 2 rakaat mampu menghilangkan keresahan, rasa dukacita serta dikabulkan Allah akan hajatnya.
27) Menurut para ulama, sesiapa yang inginkan saat kematiannya dalam kesudahan yang baik, maka berselawatlah sebanyak 10 kali setiap selesai solat Maghrib.
28) Para Ulamak berpendapat, Allah akan sempurnakan hajat yang baik dengan sentiasa berselawat 40 hingga 100 kali setiap hari, diikuti dengan usaha yang berterusan.
29) Sabda Nabi SAW: Barangsiapa yang berselawat kepadaku sebanyak 100 kali pada hari Jumaat, maka ia akan datang pada hari kiamat dengan keadaan bercahaya - HR Abu Naim.
30) Sabda Nabi SAW: Barangsiapa berselawat kepadaku 10 kali pada waktu pagi dan 10 kali pada waktu petang tiap hari, ia akan beroleh syaafaatku pada hari kiamat - HR Thabrani
Top of Form