Tuesday, February 21, 2012

Relaku PUJUK...


Nak tahu tak siapa yg selalu menjadi peneman untuk memujuk hati kita ? Jawapannya ialah TANGISAN...

Ya. Menangis. Menangislah. Menangis puas-puasnya... Lepaskan segalanya. Tetapi jangan menangis seperti orang biasa. Kita orang beriman adalah manusia luar biasa. Menangislah sambil berfikir. Berfikir akan masalah yang sedang dihadapi, ujian yang sedang ditanggungi. Jika ada apa-apa masalah yang tersimpan di dalam hati, keluarkan semuanya di dalam tangisan yang sedang mengalir itu

Biar kita menangis untuk melapangkan jiwa. Bukan menangis kita untuk menambahkan kelemahan. Di samping air mata yang mengalir itu, ambil peluang itu untuk berasa kerdil di hadapan Allah SWT. Rasakan air mata yang tumpah itu, adalah satu bentuk kerendahan kita, betapa kita ini manusia dan tak mampu nak tangani ujian ini. Air mata, itu adalah bukti kelemahan kita di hadapan Allah.

Moga-moga dengan terhapusnya ego kita, Allah mendamaikan jiwa, melapangkan hati, dan memberikan kita ketenangan dan jalan keluar kepada masalah kita. amin

Nanti apabila air mata kita telah berhenti, kita akan rasa satu kelapangan yang besar. InsyaAllah, ketika itu kita sudah sedikit tenang dan mula kembali menyusun strategi untuk menyelesaikan masalah kita.

Pujuklah hati dengan bermuhasabah . Pandang semula apa yang telah kita lakukan sehingga Allah menguji kita sebegini rupa. Kita lihat kembali apakah yang telah kita lakukan. Dengan muhasabah, hati akan rasa tenang. Kita akan melihat kembali di mana kesalahan kita. Kita akan dapat menyusun pula rancangan kita yang seterusnya.

Justeru pujuklah diri kita. Kuatkan hati, teguhkan jiwa, tenangkan qalbu. Jangan lari dari masalah. Hadapinya. Langkahinya. Lari dari masalah tidak akan menyelesaikan apa-apa. Dan kemungkinan besar selepas kita bersemuka dengan ujian itu, penyelesaiannya adalah apa yang selama ini kita hajat-hajatkan. Mungkin selepas kita tabah menghadapinya, kita akan bertemu dengan sesuatu yang kita harapkan.

Allah tidak akan menciptakan sesuatu itu dengan sia-sia. Termasuklah ujian yang diberi kepada kita. Mesti ada sesuatu yang Allah hendak berikan, Allah hendak ajarkan, Allah hendak beritahu kepada kita dengan hadirnya ujian itu. Tinggal kita sahaja tidak memerhatikan.

Maka hadapilah ujian. Pujuklah diri. Tenanglah jiwa, damailah hati!

(Hasil bacaan dan adaptasi dari Nukilan Hilal)

No comments:

Post a Comment