Saturday, December 3, 2011

Sebagai Ketua: Strategi Motivasi Nabi Muhammad Apabila Mendorong Orang Supaya Buat Kerja yang Lebih Berkualiti

(rujukan - http://hadithpsikologi.blogspot.com)

Nabi Muhammad adalah seorang motivator, yakni beliau mendorong anak-anak buahnya, alias pengikutnya, supaya meningkatkan prestasi mereka.

Apabila beliau memberi dorongan, beliau tidak berceramah panjang-panjang. Beliau juga tidak menyeru-nyeru, tidak menyuruh-nyuruh, tidak mendesak, tidak mengajak-ajak mereka, tidak mengkritik sikap mereka dan tidak menjanjikan apa-apa ganjaran supaya mereka menyahut dorongan beliau.

Bagi mendorong orang supaya meningkatkan kualiti kerja mereka, Nabi menggunakan strategi menunjukkan secara live kerja-kerja yang dilakukan dengan cara elok dan betul. Beliau menunjukkan 3 kategori kualiti kerja:

a. Kerja yang baik kualitinya
b. Kerja yang lebih baik kualitinya
c. Kerja yang paling baik kualitinya

Hadith di bawah ini menunjukkan strategi dan teknik yang Nabi gunakan sebagai alat pendorong supaya dijadikan ikutan:

Imran bin Husain melaporkan pada suatu masa ada seorang lelaki datang mendekati Nabi Muhammad. Lelaki itu berkata, “Assalamualaikum.” Nabi Muhammad berkata, “Dia mendapat 10 pahala.” Kemudian datang pula seorang lain yang berkata, “Assalamualaikum wa rahmatullah.” Nabi Muhammad berkata, “Dia mendapat 20 pahala.” Kemudian datang lagi seorang lain yang berkata, “Assalamualaikum wa rahmatullah wa barakatuh.” Nabi Muhammad berkata, “Dia mendapat 30 pahala.” - Hadith No. 2689 dalam kitab Shahih Sunan Tarmizi

Dalam hadith di atas Nabi Muhammad hanya menunjukkan cara melakukan kerja yang betul. Itu sahaja. Beliau tidak menyuruh mereka yang sedang didorong itu supaya menirunya dengan berkata seperti di bawah:

* Kita perlu memperbaiki cara kita memberi salam.
* Kamu hendaklah memberi salam macam cara Si Fulan itu memberi salam.
* Cara kamu beri salam sekarang tidak betul. Ikut cara mereka.
* Betulkan cara kamu memberi salam supaya kamu dapat banyak pahala.
* Kalau kamu hendak dapat banyak pahala, ikut cara mereka memberi salam.
* Si Fulan itu pandai memberi salam dengan betul. Tiru cara Fulan itu.

Strategi yang Nabi gunakan dalam hadith di atas bertentangan dengan sesetengah pendapat, di mana mereka mengatakan, kalau kita mahu mendorong orang supaya menjadi insan yang baik, kita perlu menunjukkan perkara-perkara buruk yang sebenarnya menjadi realiti dalam kehidupan.

No comments:

Post a Comment