SAYEMBARA PENULISAN TAZKIRAH PERINGKAT KEBANGSAAN SEMPENA MAULIDUR RASUL 1434 H ANJURAN BAHAGIAN PENDIDIKAN ISLAM KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA
kalau tak menang pun akan dapat jugak SIJIL penyertaan...hehehe memadailah.
Tulis biasa-biasa ajer, jadi tak boleh berangan nak menang... kat bawah nie hasilnya (boleh di paste di sini dah kot sebab tarik tutupnya pun dah lepas (30/9/2012) , rasa2nya pihak penganjur dah pun ada senarai pemenangnya)... tapi kalau menang dapat hadiah di Majlis Sambutan Maulidur Rasul KPM Peringkat Kebangsaan nanti... hehehe untung sabut timbul !
Taraaaaaaaaaaaaaa..........
Tazkirah Sempena Maulidur Rasul 1434H (Ikut FORMAT yang telah diberi)
Tajuk:
“ PENDIDIKAN ISLAM ASAS KECEMERLANGAN
DUNIA DAN AKHIRAT INSAN”
Oleh:
Norhayati binti Ab. Ghani @ Rani
“Orang lelaki adalah penjaga ke atas
ahli keluarganya dan dia bertanggungjawab terhadap mereka dan seorang perempuan
adalah penjaga ke atas rumahtangga dan anak-anaknya dan dia bertanggungjawab
terhadap mereka.”
(HR. Bukhari)
Anak
merupakan anugerah dan amanah Allah yang paling berharga buat si ayah dan ibu.
Islam amat menitikberatkan pendidikan anak-anak sedari kecil lagi. Melalui
institusi keluarga, tapak asas keimanan dibina, ia merupakan tapak asas
pembinaan ummah yang didasari dan berpaksi kepada keimanan kepada Allah S.W.T.
Keluarga tempat bertumbuhnya anak dari segi emosi, jasmani dan spiritual.
Keluarga jugalah yang memainkan peranan penting membentuk akal budi dan akhlak seseorang
anak itu.
Institusi kekeluargaan sememangnya merupakan aset penting
dalam pembinaan sebuah umat. Kita yakini bahawa sebuah Baitul Muslim itu tidak
akan lahir tanpa adanya Fardhul Muslim (Individu Muslim), yang muslim dalam
pemikirannya, muslim dalam aqidahnya, muslim dalam segala tingkah laku serta
perasaannya dan muslim dalam segala tindak-tanduknya. Namun pembentukan
keluarga ini tidak akan sempurna tanpa peranan besar yang perlu dimainkan oleh para
ibu dan ayah. Benarlah kata pujangga Melayu, “Bapa borek, anak rintik”.
Bertitik tolak dari itu, ibu bapa perlu sedar bahawa tugas mendidik anak-anak
bukanlah sesuatu tugas yang enteng, tetapi mereka perlu mempunyai ilmu
keibubapaan.
Pendidikan
anak-anak dalam Islam amat nyata mempunyai tujuan dan matlamat yang jelas iaitu
untuk menyediakan insan yang taat kepada Penciptanya iaitu Allah S.W.T, dalam
konteks mempersiapkan mereka untuk menjadi hamba Allah yang sebenar-benarnya,
di mana mereka perlu taat menuruti suruhan-suruhanNya dan meninggalkan
larangan-laranganNya. Oleh yang demikian, peri pentingnya pendidikan anak-anak
dalam Islam tidak dapat dinafikan lagi, pasangan suami isteri perlu mempunyai
asas agama yang baik sebagai persediaan untuk membentuk institusi kekeluargaan,
jika tidak, mereka akan berdepan dengan masalah besar apabila anak-anak dewasa kelak.
Anak-anak
jika dibiasakan dan dididik dengan kebaikan, maka mereka akan bertumbuh dengan
kebaikan, begitu juga sebaliknya. Justeru itu, menjadi kewajipan ke atas
kedua-dua ibu bapa untuk memelihara, mendidik dan membina serta mengajarkan
akhlak yang mulia dalam diri anak-anak. Mereka juga bertanggungjawab mengisi
kerohanian dan jiwa anak-anak dengan perkara-perkara asas Fardhu Ain dan
nilai-nilai murni dan berakhlak yang dapat membantu mereka berdepan dengan
cabaran dan arus dunia mereka agar kelak mereka mampu menjadi muslim yang
terdidik dan terbina kukuh jati dirinya.
Ibu bapa pada hari ini berhadapan dengan
pelbagai cabaran di dalam mendidik anak-anak. Mereka dituntut untuk
memastikan anak-anak dibesar dan diberikan pendidikan yang merangkumi
pembentukan akal, jasmani, rohani, akhlak dan sosial. Peranan ibu bapa
kini juga amat mencabar. Dunia yang berada di hadapan mata anak-anak tidak
sebagaimana dunia yang telah dilalui oleh ibu bapa. Maka menjadi satu cabaran
kepada ibu bapa untuk bijak menangani anak-anak dalam proses membesar dan
mendidik mereka. Mereka perlu dibimbing secara berterusan dan perlu
diperhatikan perkembangannya dari semasa ke semasa. Pemikiran dan jiwa
anak-anak perlu dibangunkan mengikut acuan seorang muslim. Ini boleh memberi
impak yang besar dalam cara mereka berfikir dan bertingkah laku agar sejajar
dengan kehendak dan keperluan Islam. Sesungguhnya matlamat terbesar pendidikan
Islam ialah mendidik seseorang insan itu agar kelak akan lahir ummah yang
cemerlang dunia dan akhirat. Ini kerana pendidikan Islam mampu memberi
pendidikan sepanjang hayat dan menuntun hidup seorang muslim sejati.
KIT TINDAKAN:
1. Ibu bapa perlu melengkapkan diri dengan
ilmu-ilmu keibubapaan dan asas-asas Fardhu Ain sebelum melangkah ke alam
rumahtangga.
2. Anak-anak perlu dididik dengan segala
keperluan dari pelbagai aspek – rohani, jasmani, sosial dan spiritual selaras
dengan kehendak Allah dan rasulNya.
3. Mendidik anak-anak hendaklah bersesuaian
dengan zaman mereka yang serba mencabar dan memerlukan kebijaksanaan dalam
mengendalikan anak-anak ini.
No comments:
Post a Comment